FiNrA_3492

Isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) telah lama kedengaran. Ramai yang menyalahkan Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung perkara tersebut. Ramai yang menyarankan agar PPSMI dimansuhkan. Adakah kementerian akan memansuhkan PPSMI?

Ada yang mengatakan keputusan peperiksaan tahun lepas meningkat untuk pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Tetapi adakah ia meningkat di seluruh sekolah atau hanya sekolah-sekolah di bandar tapi tidak di luar bandar. Pelajar di sekolah luar bandar kadang-kadang tidak memahami apa yang diajar oleh guru bagi mata pelajaran tersebut. Begitu juga dengan guru. Apakah ia adil untuk para pelajar di luar bandar?

Sedikit kenyataan Dato' Hishammuddin mengenai PPSMI

Tidak terburu-buru tentu status PPSMI- Hishammuddin

PUTRAJAYA 8 Jan. - Kementerian Pelajaran tidak akan terburu-buru membuat keputusan berhubung status Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam sistem pendidikan negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendirian itu dibuat kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, matlamat pihaknya adalah untuk melaksanakan apa yang terbaik bagi masa depan generasi muda dan negara.

''Kami tidak akan tunduk kepada mana-mana desakan atau tuntutan berhubung status PPSMI itu kerana kami tidak mewakili kepentingan sesuatu kelompok atau perjuangan tertentu sahaja.

''Lagipun, apa yang nak gopoh sangat kerana apa jua keputusan kita, ia hanya dapat dilaksanakan pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2009 Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Sebelum ini Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) mempertimbangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya PPSMI diteruskan.

Gapena mendakwa pelaksanaan PPSMI itu secara jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hishammuddin memberitahu, penelitian ke atas 22 kertas kerja kajian PPSMI yang dibuat melalui lima siri persidangan meja bulat sepanjang tahun lalu itu kini berada di peringkat akhir.

''Dalam masa terdekat ini, kertas itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersetuju agar Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dipinda bagi memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasakan bahasa kebangsaan.

''Dengan pindaan itu, DBP dapat berperanan menggalakkan dan menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan dengan lebih berkesan.

''Cadangan pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini dan saya percaya dengan pindaan itu, usaha-usaha memperkasakan bahasa kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.
Dilaporkan oleh :Kementerian Pelajaran Malaysia

Ini Pula Penafian Sasterawan Negara Dikatakan Telah Diperalat Oleh Pembangkang

KOTA BAHARU 25 Feb. — Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menafikan dirinya telah diperalat pembangkang dalam usahanya memperjuang Bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang digunakan sekarang.

Beliau berkata kehadirannya dalam beberapa siri ceramah pembangkang itu tidak seharusnya disalah anggap oleh masyarakat kerana apa yang penting adalah memperjelas kepada umum dalam isu tersebut.

“Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai Bahasa Melayu yang saya perjuangkan tidak kira di pentas politik mana sekali pun.

“Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya Bahasa Melayu di muka bumi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sembang Pagi Bersama Sasterawan Negara di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Baharu di sini, hari ini. - Bernama

Labels: | edit post
0 Responses

Post a Comment